Presiden Pertubuhan Orang Cacat Malaysia, Mohd. Nazari Othman berkata, ketika ini kemudahan akses yang disediakan kepada golongan itu masih perlu diperbaiki dan ada sebahagian daripadanya perlu ditambah baik.

“Golongan OKU khususnya cacat penglihatan memerlukan kemudahan akses yang lebih baik bagi memudahkan pergerakan mereka.

“Kita dapati banyak kemudahan yang disediakan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan serta tidak mesra OKU. Sebagai contoh, kemudahan laluan pejalan kaki untuk golongan ini perlu diperbanyakkan seperti yang terdapat di Brickfields dan Hentian Pudu Sentral di ibu negara,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian anugerah cemerlang kepada pelajar OKU dari seluruh negara yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di sini hari ini.

Pada majlis itu, tiga pelajar menerima anugerah masing-masing iaitu Celine Lean Yew Lim dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak di sini yang memperoleh keputusan 7A dalam PMR, diikuti Andrea Pui Jia Hui dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan St. George, Pulau Pinang yang mendapat keputusan 2A+, 4A, 2A- dalam SPM dan Mohamad Fairus Azmi dari SMK Tunku Abdul Malik di Alor Setar, Kedah yang memperoleh 4 Prinsipal dalam STPM.
Mohd. Nazari dalam pada itu berkata, kerajaan juga perlu memperbanyakkan laluan pejalan kaki untuk golongan tersebut khususnya di ibu negara yang menggunakan sistem pengangkutan awam seperti sistem transit aliran ringan (LRT) dan komuter.

Beliau juga meminta supaya lebih banyak program akademik seperti latihan kemahiran vokasional dan keusahawanan disediakan kepada golongan berkenaan bagi memudahkan mereka memperoleh pendapatan untuk diri sendiri.